Mengapa perlu kerap membasuh tangan?
Membasuh tangan terutama sebelum makan atau selepas mengguna tandas bukan sesuatu yang baharu dalam masyarakat. Sebaliknya, ia menjadi satu kelaziman di Malaysia. Apa yang dimaksudkan membasuh tangan sebagai kebiasaan baharu ialah mencuci tangan lebih kerap walaupun tidak makan atau tidak menggunakan tandas. Inilah yang kebiasaan baharu yang perlu dijadikan norma baharu.
Tangan adalah bahagian anggota badan yang paling kerap menyentuh pelbagai permukaan dan tempat yang mempunyai kuman.
Membasuh tangan dapat cegah penyakit dan menyebarkan jangkitan kepada orang lain kerana ;
• Kelazimannya kita kerap menyentuh mata, hidung dan mulut tanpa sedar. Tangan yang tercemar akan memindahkan kuman ke saluran pernafasan melalui mata, hidung dan mulut
• Kuman dari tangan yang tidak dibasuh boleh berpindah ke objek yang disentuh seperti tombol pintu, telefon bimbit, duit dan juga semasa bersalaman
Membasuh tangan dengan sabun dan air dapat menyingkirkan kuman dan mencegah pelbagai penyakit termasuk jangkitan COVID-19. Jika sukar akses tempat membasuh tangan, anda boleh mengguna cecair pemasmi kuman (hand sanitizer). Pada pengguna pengangkutan awam, anda amat digalakkan membawa sebotol kecil hand sanitizer sebagai persediaan pencegahan kerana kita menyentuh tempat/barang yang kerap disentuh orang ramai walaupun sekarang kerap dicuci oleh kakitangan pembersihan.
Memakai sarung tangan (terutama yang sering dipakai juruwang di kaunter bayaran), tidak bermakna anda tidak perlu basuh tangan. Risiko yang sama juga kerana anda menyentuh bahagian tercemar kemudian menyentuh bahagian muka.
Oleh itu, KKM sering menasihatkan orang ramai kerap membasuh tangan mengguna air dan sabun sekurang-kurangnya 20 saat.